Specialty Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) Kohort 10 Universiti Malaysia Sabah
KENALI DADAH
Apa Itu Dadah?
Dadah merupakan suatu bahan kimia psikoaktif yang wujud sama ada dalam keadaan semulajadi mahupun buatan (sintetik), yang mana bahan psikoaktif itu mampu mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi. Menyalahgunakan dadah bermaksud seseorang itu memasukkan dadah ke dalam badan bukan bagi tujuan perubatan (AADK, 2017; Foong Kin & Saleha Ibrahim, 2012; Nur Syuhada Atika Shahidan, 2015).
UNDANG-UNDANG BERKAITAN DADAH
Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983
Merujuk kepada peruntukan seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), undang-undang telah mentafsirkan bahawa “dadah berbahaya” ertinya “sebarang dadah ataupun bahan yang mana pada masa itu terkandung dalam Jadual Pertama”.
Merujuk kepada seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) pula, “penagih dadah” ertinya “seseorang yang, melalui penggunaan mana-mana dadah berbahaya, mengalami suatu keadaan psikik dan kadangkala keadaan fizikal yang dicirikan dengan gerak balas tingkah laku dan gerak balas lain yang meliputi desakan mengambil dadah secara berterusan atau berkala untuk mengalami kesan psikiknya dan untuk mengelakkan ketagihan kerana ketiadaannya”.