Specialty Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) Kohort 10 Universiti Malaysia Sabah
JENIS-JENIS SUBSTANS
Berikut merupakan dadah atau substans yang sering disalahguna. Istilah "substans" digunakan kerana ianya lebih tepat, menyeluruh, dan bersesuaian dengan konteks perbincangan pendidikan komuniti.
OPIAT
Candu, Morfin, dan Heroin
Dadah kategori opiat merujuk kepada dadah-dadah yang dihasilkan dari getah pokok popi. Antara dadah kategori opiat ialah candu, heroin dan morfin. Dadah candu sudah lama tidak digunakan di Malaysia, namun dadah heroin dan morfin masih lagi disalahgunakan. Dadah heroin dan morfin diproses ke dalam bentuk blok mampat dan dipeket ke dalam unit yang lebih kecil untuk mudah dipasarkan. (NIDA, 2020)
GANJA
Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)
Ganja berasal dari pokok hemp, Cannabis sativa dan mengandungi pelbagai jenis bahan kimia. Bahan kimia utama yang bersifat psikoaktif dalam ganja ialah delta-9-tetrahydrocannabinol atau lebih dikenali sebagai THC. Ganja akan dikeringkan dan diproses sebelum boleh digunakan sebagaimana menggunakan tembakau. (NIDA, 2020)
STIMULAN
Kokain, Amphetamine, dan Methamphetamine
Dadah kategori stimulan merujuk kepada dadah-dadah yang merangsang sistem saraf pusat seseorang secara hiper dan drastik, kesan daripada bahan psikoaktif yang terdapat dalam komponen dadah tersebut. Terdapat 3 jenis dadah stimulan yang biasa disalahguna pada masa kini iaitu dadah jenis Kokain, Amphetamine, dan Methamphetamine (NIDA, 2020).
HALUSINOGEN
LSD dan PCP
Dadah kategori halusinogen merujuk kepada dadah semulajadi dan sintetik yang mengakibatkan pengherotan berlaku kepada bagaimana pengguna mencerap deria penglihatan dan pendengaran seperti masa, pergerakan, warna, bunyi dan juga imaginasi diri. Dadah jenis ini mengganggu corak pemikiran dan keupayaan berfikir seseorang, seterusnya menjejaskan komunikasi juga mengenalpasti realiti. Contoh dadah jenis halusinogen ialah LSD dan PCP (NIDA, 2019).
DEPRESEN
Barbiturates, Erimin 5, dan Roche
Dadah kategori depresen (depressants) secara sahnya digunakan untuk merawat penyakit kegelisahan yang melampau dan juga kecelaruan tidur seseorang individu. Dadah jenis penindas ini bertindak di sistem saraf pusat individu dengan cara memperlahankan gerak kerja organ dalam tubuh pengguna. Antara contoh dadah jenis depresen adalah termasuk ubat sedatif dan tranquilizer seperti Barbiturates, Erimin 5, dan juga Roche (NIDA, 2020).
INHALAN
Gam, Thinner, dan Aerosol
Inhalan ialah sejenis bahan mudah meruap. Bahan ruapan ini seterusnya menghasilkan wap-wap bersama bahan kimia psikoaktif, yang mana jika wap itu dihirup atau disedut dengan cepat dan kuat, akan dapat memberikan kesan khayalan dan euforia kepada pengguna, sekaligus mengubah cara minda berfungsi. (NIDA, 2020)
NEW PSYCHOACTIVE SUBSTANCE (NPS)
Menurut laporan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) (2020), dadah kategori New Psychoactive Substance atau lebih dikenali sebagai NPS ini bukanlah merujuk kepada sebarang penemuan kepada jenis dadah yang baharu. Istilah “baharu” (new) dalam konteks NPS ini merujuk kepada kewujudannya yang baru sahaja tersedia di pasaran masa kini. Beberapa dadah NPS ini sudah pun mula disintesis atau dicipta di dalam makmal sejak beberapa dekad yang lalu, tetapi ianya baru sahaja mula diperkenalkan ke dalam pasaran dadah masa kini. Dadah sintetik ini secara amnya mengandungi bahan di mana kesannya sama seperti dadah yang lain.